Monday, July 20, 2009

Berguru Dengan Alam

Banyak cara yang boleh dibuat untuk memotivasikan diri. Namun hasil dan kesannya tetap terletak pada yang empunya diri itu sendiri. Sejauh dan sekuat mana dia berusaha serta kemahuannya itu; adakah mampu mendorong kea rah perubahan atau sebaliknya. Orang lain hanya mampu memberi nasihat, panduan dan tunjuk ajar.

Satu cara yang paling mudah untuk mengetuk hati dan minda ialah dengan merenung dan bertafakkur- melihat peristiwa atau apa saja ciptaan Allah yang ada disekeliling kita. Kemudian, belajar mencungkil ilmu, hikmah dan pengajaran di sebaliknya. Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Kalau kita benar-benar mahu berubah dan maju, insya Allah pengajaran atau falsafah di sebalik iktibar kita itu boleh membantu. Sekurang-kurangnya daripada fikir kita itu membawa kepada zikir (ingat Allah serta memujiNya).

Melihat, merenung dan berfikir. Berguru dengan alam ciptaan Allah yang maha luas ini. Di dalam Al-Quran, pun ada banyak ayat yang ulang bertanya; “Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” atau dalam ayat yang lain... “Terdapat tanda-tanda (ayat) bagi orang yang berakal..”

Semuanya memberi penegasan tentang pentingnya memikirkan secara mendalam tentang tanda-tanda kekuasaan Allah. Dari situ nanti, akan lahir kesedaran dan keinsafan bahawa sebenarnya Allah sentiasa membuka jalan dan laluan untuk kita meraih pencapaian terbaik dalam apa jua perkara yang kita libati.

Kita belajar dengan alam dan ambil iktibar untuk dijadikan motivasi diri. Memang banyak benda sebenarnya yang boleh dijadikan bahan fakir untuk melahirkan bait-bait zikir – berfikir lalu membawanya kepada mengingati Allah. Mencungkil himah disebalik kejadian dan penciptaan, serapkannya ke dalam hati dan minda sebagai bahan iktibar yang cukup berguna.

[Renung dan Ambillah Iktibar]

Mari kita nikmati beberapa hidangan ilmu dan iktibar yang disajikan oleh alam sekitar. Melihat air yang mengalir; air mengalir ke tempat yang lebih rendah. Iktibarnya ilmu pengetahuan hanya mudah masuk ke dalam hati yang merendah diri.

Hati yang bebas daripada sifat sombong dan rasa besar diri. Bebas daripada rasa/sikap tidak mahu tunduk atau beralah kepada orang lain. Lebih rendah satu-satu tempat, lebih banyaklah ia menakung air. Begitu jualah perumpamaan aliran ilmu.

[Singgah di Tempat Yang Baik]

Bercerita pula tentang lebah. Haiwan kecil ini tidak pernah hidup sendirian melainkan sentiasa berkumpulan. Hidup saling bekerjasama dan bantu-membantu. Itu antara falsafah murni yang boleh kita belajar daripada lebah. Masing-masing memberi sumbangan yang berguna untuk manfaat bersama.

Satu lagi yang kita boleh dapat berguru dengan lebah ialah mengenai tempat singgahnya. Lebah hinggap di atas bunga-bunga, pucuk-pucuk daun atau putik-putik buah. Pendek kata, lebah akan hinggap di tempat yang bersih, segar dan harum. Singgah di tempat yang baik. Kemudian, bawa kebaikan itu ke merata tempat.

Berehat sebentar di tepi sungai merenung air sungai yang mengalir. Aliran sungai umpama aliran masa. Tidak akan berhenti atau berpatah semula ke belakang. Jika kita mengisinya dengan kebaikan, kebaikan itu akan tersimpan sebagai pahala. Sebaliknya jika diisi dengan kejahatan, ia akan kekal sebagai dosa melainkan kita bertaubat memohon keampunan Allah.

Meninjau pula kehidupan di laut. Walaupun air laut itu masin semasin-masinnya tetapi aneh... isi atau daging ikan tetap tidak masin. Ertinya, ikan tetap mengekalkan identitii dan jati dirinya yang tetap tawar walaupun dikelilingi air laut yang sangat masin. Satu pengajaran yang sangat mahal – jangan sekali-kali kita dicorakkan oleh suasana sekiranya suasana yang kita hadapi itu negatif.

Selesai mengutip ilmu daripada ikan-ikan di laut, kita tengok pula cicak yang merayap di dinding. Cukup hebat sebenarnya pengajaran yang boleh kita ambil daripada seekor cicak. Cicak memakan serangga yang berterbangan, sedangkan cicak tidak boleh terbang. Cicak hanya menggunakan lidah, mata, dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki.

Pengajarannya, bolehlah kita katakana bahawa cicak tidak pernah ambil pusing tentang kekurangannya. Sebaliknya berfokus kepada kelebihannya. Begitu juga kita manusia; beri tumpuan pada kekuatan, kelebihan atau kemahiran yang kita miliki. Kelemahan atau kekurangan jangan dijadikan alasan tidak boleh maju. Sebaliknya, cipta kelebihan daripada kekurangan.

Merenung-renung semula maksud ungkapan yang mengenai cicak itu, bermakna tidak ada siapa pun yang tidak boleh Berjaya dalam hidupnya. Pokoknya, terserah pada yang empunya diri itu sendiri serta kemahuannya itu; adakah mampu mendorong kearah perubahan atau tidak.

Dipetik semula ungkapan tersebut... “Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Dia hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”

Terlalu banyak perumpamaan yang boleh kita buat/pelajari daripada apa yang kita lihat dan lalui sehari-hari. Beberapa contoh yang diperkatakan disini hanya mengulang sebut semula apa yang telah disiarkan dalam majalah ASUH menerusi ruangan Belajar Dengan Alam.

Memang jiwa kita memerlukan ilmu dan pengajaran seperti ini; dikutip daripada alam Allah yang maha luas ini. Di dalam al-Quran pun ada ayat-ayat berkait dengan perumpamaan, Allah gunakan untuk mengajar dan mengingatkan manusia. Tujuannya supaya kita insaf dan sedar bahawa segala sesuatu yang Allah jadikan ada kebaikan dan manfaatnya. Jangan kita persiakan kebaikan dan manfaat itu!

Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. [Ali Imran : 191]

Sumber : Majalah Anis
Oleh : Muhammad Widad



1 comment:

........ said...

sangat betull.. ape pun.. moga yang terbaik untuk ko.. huhu.. slamat2!!!..